“Perubatan adalah sains keseluruhan tubuh manusia dan perkaitan dengan kesihatan yang baik dan tidak serta membangunkan kesihatan yang baik, wujud dan mengembalikan ia kepada keadaan sihat apabila ia kekurangan.” – Ibnu Sina dalam Qanun Fil al Tibb.
Sains perubatan Islam berkembang sebagai perintis metodologi dalam dunia perubatan. Sifat kecendikiawan cerdik pandai Islam dimanifestasi sebagai jirim pembangunan dunia perubatan yang berkembang maju hari ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Setiap penyakit ada ubatnya melainkan penyakit tua dan mati.”
Hadis ini menjadi dasar kepada penyelidikan dan usaha cendikiawan Islam membongkar rahsia perubatan untuk manfaat ummah tanpa mengetepikan kehadiran Zat Allah sebagai dasar Yang Maha Agung.
Umum mengetahui, Pembangunan dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Development) banyak dilakukan oleh para saintis dari Barat. Dalam masa yang sama, umum juga mengetahui bahawa suatu masa dulu Islam adalah perintis kepada dunia perubatan namun fakta hakiki ini semakin tenggelam tidak berdasar ditelan zaman.
Masyarakat dunia hari ini disogok dengan informasi luaran yang menyatakan kecanggihan teknologi perubatan terkini tanpa sebarang perkaitan dengan pengasas dunia perubatan – cerdik pandai Islam.
Empayar keagungan Islam memuncak sewaktu pemerintahan khalifah-khalifah terkenal di wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Islam. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan berpandukan kitab al-Quran, jelas diterima oleh masyarakat ketika itu sebagai ajaran yang membawa kebaikan duniawi dan ukhrawi. Pada era pemerintahan khalifah-khalifah Islam inilah berkembangnya teknologi Islam dalam pelbagai bidang termasuklah bidang perubatan.
Antara tokoh-tokoh terkenal ketika itu adalah Bapa Ilmu Perubatan iaitu Ibnu Sina yang dikenali juga sebagai Avicenna oleh orang-orang Barat, Al-Razi, Al-Zahrawi, Ibnu Rusdy dan Ibnu El-Nafis. Tokoh-tokoh ini bukan sahaja mahir dalam bidang ilmu kedoktoran malahan mencakupi bidang ilmu yang lain seperti matematik, sains, keagamaan, fizik dan astronomi disamping mahir dalam ilmu-ilmu agama.
Ilmu kedoktoran yang diamalkan secara saintifik ketika itu berdasarkan teknologi perubatan zaman itu. Hasilnya, kitab-kitab perubatan karangan tokoh-tokoh berkenaan seperti “Qanul Fi Al Tibb” karangan Ibnu Sina dijadikan asas dan panduan para sarjana Barat dalam menghasilkan teknologi dalam perubatan.
Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan Sunnah. Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan Islam sehingga terjebak ke dalam dunia syirik apabila tersilap perhitungan. Mereka menyangkakan semua perubatan tradisional yang menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai ´kulit´ dalam perubatan itu tidak bercanggahan dengan Islam.
Namun begitu, Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram (bersemah – sembelihan korban sebagai jamu khadam) dan amalan-amalan berdamping dengan khadam yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik khafi (tersembunyi) serta amat dilarang dalam Islam. Al-Kitab iaitu al-Quran sebenarnya tersisip panduan perubatan dalam Islam.
Perbincangan tentang perubatan Islam di sini adalah berlandaskan kitab-kitab perubatan lama seperti amalan perubatan dalam kitab Sahih Bukhari bab Al-Tibb (Perubatan), “Qanun Fil Al Tibb” karangan Ibnu Sina dan beberapa hadis sahih yang lain. Al-Razi atau nama sebenarnya, Abu Bakar Muhammad Ibnu Zakaria Al Razi, seorang ahli falsafah dan ahli kimia Islam serta pakar dalam bidang perubatan Islam Islam turut menghuraikan tentang perubatan Islam secara saintifik melalui bukunya kitab “Al-Hawi Fi al-Tibb”, kitab “Al-Judari wa al Habshah” dan kitab “Jami fi al-Tibb”.
Dalam kitab “Sahih Bukhari” terkandung lebih 20 bab berkaitan perubatan Islam merangkumi perubatan tradisional berdasarkan hadis. Parktis dan teknik perubatan tradisional yang dinyatakan dalam “Sahih Bukhari” ini diistilahkan sebagai ´Prophetic Medieval´ oleh sarjana Barat.
Semua aspek perawatan diperjelaskan berdasarkan nas al-Quran dan hadis termasuklah bahan-bahan yang digunakan untuk merawat penyakit. Antara bahan-bahan perubatan yang dinyatakan di dalam kitab ini ialah buah zaitun (Olea europea), buah delima (Pomegranate), madu lebah, buah tamar (Phoenix dactilyfera), buah tiin (Phicus sycomorus), dan halia (Zingiber officibale) juga beberapa praktis dalam merawat gangguan sihir.
Ummul Kitab iaitu Al-Fatihah ada dinyatakan dalam “Sahih Bukhari” sebagai surah yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Dalam kitab ini ada dinyatakan, Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan beberapa sahabat Rasulullah s.a.w telah pergi ke sebuah perkampungan orang-orang Arab. Namun, begitu kehadiran mereka tidak diendahkan oleh masyarakat kampung berkenaan sebagai tetamu sebaliknya mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja. Ditakdirkan Allah, ketua masyarakat kampung tersebut telah disengat oleh binatang berbisa dan jatuh sakit. Maka, penduduk kampung (khususnya bangsa Arab yang amat menghormati ketua) berada dalam keadaan tidak menentu – gusar, sedih dan gelisah.
Mereka bertanya kepada sahabat-sahabat Rasulullah: “Adakah kamu mempunyai sesuatu iaitu ubat ataupun jampi untuk menyembuhkannya?” Sahabat-sahabat Rasulullah membacakan Al-Fatihah dan diusap pada tempat yang sakit. Dengan izin Allah, bisa sengatan binatang itu tadi sembuh lalu penduduk kampung memberikan sekawan kambing sebagai upah. Para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah berkenaan upah yang diterima samada perlu diambil atau tidak. Rasulullah s.a.w menjelaskan, upah dalam pengubatan boleh diterima asalkan ianya berpatutan dan tidak membebankan.
Kitab “Sahih Bukhari” dalam bab Kitab Tibb ini ada membicarakan tentang perubatan yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Imam Bukhari membahaskan perihal pengubatan ini dengan menukilkan riwayat dan hadis-hadis Baginda. Diriwayatkan daripada Abd Aziz Ibnu Shuaib, bahawa dia dan Thabit Al-Bunani telah menemui Anas bin Malik. Thabit telah berkata kepada Anas bin Malik: “ Wahai Abu Hamzah (gelaran Anas bin Malik), sesungguhnya aku telah sakit. Anas menjawab: “ Mahukah kamu aku ubatkan dengan cara Rasulullah s.a.w?” Thabit menjawab: “Ya.” Anas membacakan doa ini: “Ya Allah , pentadbir segala manusia, yang menghilangkan kesakitan, sembuhkanlah kesakitan, sembuhkanlah sesungguhnya engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada yang dapat menyembuhkan melainkan engkau, sembuh yang tidak meninggalkan sakit.”
Namun begitu, praktis perubatan tradisonal Islam harus bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit. Bersandarkan kepada hadis yang dinyatakan oleh Imam Bukhari dalam kitab ini, Rasulullah s.a.w bersandarkan kepada Allah ke atas setiap perbuatan yang dilakukan. Daripada Aisyah r.a: Bahawasanya Baginda s.a.w membacakan ´a´uzubillah´ atau sesuatu yang mengandungi pengharapan dan memohon pertolongan Allah ke atas ahli keluarganya dengan menyapu tangan kanan sambil membaca – “Ya Allah , pentadbir segala manusia, yang menghilangkan kesakitan, kesakitan, sembuhkanlah sesungguhnya engkaulah yang Maha Penyembuh, tiada sembuhkanlah yang dapat menyembuhkan melainkan engkau, sembuh yang tidak meninggalkan sakit.” Pengharapan yang disandarkan oleh Rasulullah s.a.w terhadap memohon pertolongan Allah ini dinyatakan sebagai ´Taawaz´ dan ´Istijarah´ oleh Aisyah r.a.
Praktikal perubatan moden melihat penyakit yang wujud dalam diri manusia disebabkan oleh serangan virus dan bakteria. Dua elemen ini akan menyerang sel-sel tubuh badan sehingga menyebabkan sistem fisiologi manusia gagal berfungsi dengan baik serta mengakibatkan munculnya pelbagai jenis penyakit. Namum, ada sesetengah penyakit yang tidak dapat dijelaskan oleh kaedah saintifik hari ini termasuklah pakar perubatan. Antara penyakit itu adalah ganguan sihir daripada individu tertentu yang tidak boleh dijelaskan melalui mikro teleskop sekalipun. Dalam membicarakan tentang praktis perubatan tradisional Islam, Kitab “Sahih Bukhari” ada membicarakan berapa perkara tentang sihir, antaranya sihir mata (al-ain). Sesetengah ulama dan ahli fisiologi bersetuju bahawa ´al-ain´ adalah sesuatu yang amat halus dan boleh memudaratkan manusia kerana apabila bersentuhan dengan kulit manusia boleh mendatangkan mudarat. ´Al-ain´ bermaksud ´mata´, mangsa akan merasa takjub (pukau) dengan sesuatu sehingga mendatangkan kesan negatif terhadap mangsa.
Aisyah r.a berkata: “Aku telah disuruh oleh Rasulullah agar dijampi ( membaca ayat suci al-Quran) apabila terkena sihir ´al-ain´”. (Hadis riwayat Sahih Bukhari). Dalam riwayat yang lain, Ummu Salamah r.a menyatakan, bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w telah datang ke rumahnya. Ketika itu Baginda melihat ke wajah hamba yang berada di rumah Ummu Salamah dalam keadaan pucat dan lesu. Maka beliau bersabda: “Ubatilah dia, sesungguhnya dia terkena sihir mata ( al-ain).”
Praktis perubatan tradisional Islam semakin mendapat tempat di hati masyarakat umat Islam. Pelbagai tumbuhan semulajadi seperti bijirin-bijirin dan buah-buahan yang pernah digunakan sebagai ubat oleh cendekiawan Islam terdahulu, kini diaplikasikan semula fungsinya. ´Habbatus sauda´ atau bijirin hitam misalnya, dinyatakan dalam kitab Sahih Bukhari ini pernah digunakan oleh Rasulullah s.a.w. Aisyah r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Habbatus sauda menyembuhkan segala penyakit kecuali ´sam´ (mati).”
Dalam satu peristiwa diriwayatkan oleh Sahih Bukhari, Khalid bin Saad telah keluar menuju ke Madinah bersama Ghalib bin Abjar. Tatkala dalam perjalanan itu Ghalib bin Abjar telah sakit sehinggalah selamat sampai di Madinah. Berita Ghalib bin Abjar yang sakit itu sampai ke pengetahuan Ibnu Abi Ariq lalu menziarahinya sambil menyarankan supaya Ghalib bin Abjar mengambil bijirin hitam sebagai ubat. Berikut dijelaskan cara pengubatan yang disarankan oleh Ibnu Abi Ariq kepada Ghalib bin Abjar: ambil lima hingga tujuh biji-bijirin hitam, hancurkannya sehingga lumat dan kemudian rendamkan atau dicampur dengan minyak. Selepas itu, titis beberapa titik pada kedua-dua lubang hidung. Dengan kuasa dan kehendak Allah, penyakit Ghalib bin Abjar berjaya disembuhkan.
Para saintis perubatan telah mengkaji beberapa tumbuhan dan buah-buahan yang terdapat di dalam al-Quran seperti buah zaitun, buah tinn, delima, anggur dan tamar. Buah delima dan tamar misalnya disebut oleh Allah di dalam surah al-An´am ayat 141. Persepsi saintifik melihat buah delima kaya dengan kandungan zat besi yang tinggi dan berpotensi untuk membantu pembentukan darah kerana kadar hemoglobin yang cepat. Daripada sudut perubatan tradisional Islam yang dinyatakan oleh sesetengah ulama, buah delima atau ´ruman´ melancarkan sistem pencernaan, memperkuatkan jantung dan melancarkan sistem pembuangan air kencing. Bunga delima yang direbus dikatakan dapat menyembuhkan sakit perut serta radang tonsil.
Kajian saintis juga mendapati, buah anggur yang dijadikan kismis mengandungi kalsium. Fosforus, vitamin A dan B serta mempunyai kandungan glukosa dan fruktosa bagi meningkatkan tahap kesihatan. Sementara itu, buah tinn dikenalpasti mengandungi kalsium, potassiium, fosforus dan zat besi yang diperlukan oleh sistem tubuh badan. Oleh karana kandungan bahan-bahan berkhasiat itu, buah tinn mempunyai nilai perubatan yang tinggi dalam merawat penyakit batuk yang berpanjangan dan penyakit buasir.
Sesungguhnya, kaedah perubatan tradisional Islam meletakkan falsafah bahawa kuasa penyembuhan adalah terletak pada Yang Maha Kuasa. Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira sama ada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata. Dalam istilah lainnya, segala kaedah dan ubatan hanya ´al-asbab´ tetapi ulama berpendapat mengikut sunnah dalam proses perubatan – bersandarkan cara Rasulullah s.a.w meletakkan kuasa penyembuhan kepada Allah (taawaz dan istijarah) adalah perkara paling wajib kerana ´makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu´.
Umat Islam harus bersyukur kepada Allah kerana mencambahkan sifat keilmuan dalam diri umat Islam sehingga menjadi contoh kepada dunia Barat untuk mengaplikasi teknologi dan metodologi perubatan ulama terdahulu. Umat Islam tidak hanya dibekalkan dengan ilmu perubatan yang bersifat saintifik tetapi turut disisipkan dengan cara perubatan dan perawatan secara tradisional yang islamik (berdasarkan ijmak ulama, qias, al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w).
No comments:
Post a Comment